Laporan ke Balar (3-10 Julai 2009)  

Posted by ummahaid in

Laporan Balar (3-10 Julai 2009)


Alhamdulillah, pada 3-10 Julai 2009, Ustaz Wahab bersama Muhammadiyah International dari Thailand, beberapa pemandu 4x4 dari Perlis, ABIM dan beberapa mahasiswa serta wakil dari Pos Kuala Mu, iaitu Pak Hadu, Khadijah dan Zaidah, meneruskan aktiviti kembara dakwah perkampungan Orang Asli. Diantara kampung yang disinggahi termasuklah Pos Sungai Rual, Kg Ippes, Pos Balar, Kg Dakoh dan Kg Belatim.





3hb Julai 2009
Kembara dakwah kami bermula pada 3hb Julai, dimana kami singgah di Pos Sungai Rual, Jeli Kelantan menziarahi rakan-rakan sedakwah dari COMRADE UIA (http://comradeuiam.blogspot.com) menjalankan aktiviti dakwah, pendidikan dan kajian kepada penduduk di sana, yang rata-ratanya bersuku Bateq dn Jahai. Diantara aktiviti-aktiviti yang sempat kami saksikan termasuklah kelas modul dengan adik-adik, hari sukan, malam kebudayaan, solat jamaah bersama penduduk kampung yang mendapat sambutan terutamanya di kalangan kanak-kanak. Program yang diadakan mereka menggunakan metod baktisiswa, walau dalam masa yang sama menekankan tujuan mereka iaitu dakwah, pendidikan dan kajian.
Semalam di sana, keesokannya kami bertolak ke RPS Betis.


4hb Julai 2009

Kami bertolak ke RPS Betis bagi menemui rakan seperjuangan, ABIM. Persiapan dilakukan pada hari ini dan keputusannya, kami bertolak pada keesokan harinya.


5hb Julai 2009

Kami bertolak menaiki 4 buah kenderaan, iaitu 2 pajero, sebuah land cruiser serta sebuah kenderaan pickup kepunyaan Ustaz Wahab. Alhamdulillah, perjalanan kami yang bermula selepas Zohor berjalan lancar, hanya beberapa kesulitan yang dihadapi, dan Alhamdulillah, pada jam 10 malam, barulah kami tiba di Kampung Ippes, salah satu kampung dibawah pentadbiran Pos Balar, setelah menyeberangi dua buah sungai.



Alhamdulillah, malam itu juga kami didatangi penduduk kampung dan proses ramah mesra dengan penduduk kampung bermula pada malam itu juga.



6hb Julai 2009

Program ramah mesra bermula, dimana beberapa program dijalankan, termasuklah sukan dikalangan belia dan beliawanis Orang Asli yang terdapat dikampung tersebut. Sukan yang dijalankan berjalan dengan meriah. Selepas itu, kami menjemput seluruh penduduk kampung untuk makan tengah hari bersama-sama. Di antara masalah yang kami hadapi disana ialah kanak-kanak yang masih tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu.
Pada sebelah malam pula, satu malam kebudayaan diadakan.


7hb Julai 2009



Setelah berkemas, kami bertolak ke Dakoh. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah di Pos Balar, dimana kami sempat beramah mesra dengan beberapa penduduk, penggerak yang baru dua minggu bertugas di sana dan juga para guru yang bertugas di sekolah tersebut.
Berkenalan dengan Kak Merah dan suaminya adalah sesuatu yang bermakna kepada kami. Kak Merah yang berasal dari Tenom, Sabah dan suaminya, seorang Temuan yang berasal dari Selangor bertemu di Kok Lanas, dan ditugaskan menjadi penggerak di sana. Kami turut menyelami suka-duka mereka berdua dalam masa seminggu bertugas. Nyata, pada permulaan tugas ini, terdapat halangan-halangan dari pelbagai pihak, dan juga persekitaran. Namun mereka kuatkan semangat , dan yakin bahawa dengan janji Allah kepada manusia yang melakukan kebaikan. Mudah-mudahan jalan mereka dipermudahkan Allah, ameen~

Di sekolah pula, kami menyelami hati beberapa guru mengenai masalah yang dihadapi sepanjang mendidik anak-anak dipedalaman. Tidak mudah untuk bergelar guru di kawasan pedalaman seperti Balar, namun Alhamdulillah, mereka dikurniakan kekentalan mental dan fizikal, dan tidak akan berputus asa dalam berbakti kepada sesama manusia. Alhamdulillah. Ketika itu, saya teringat puisi Usman Awang yang masyhur terutamanya ketika Hari Guru menjelma, diantara petikannya:

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.




Kami meneruskan perjalanan kami ke Dakoh. Subhanallah! Hanya kata-kata itu yang terbit dihati kami, melihat keindahan kampung ini. Hanya terdapat beberapa buah rumah di sini, dan rata-ratanya memberi respon yang baik untuk belajar agama Islam. Dakoh mempunyai potensi untuk mengembangkan agama Islam disana.



Di antara program yang dijalankan disana termasuklah kenduri, tayangan video perjalanan ke Pos Balar yang lepas dan juga kelas Fardhu Ain, menekankan beberapa ajaran seperti Syahadah, Fatihah dan juga solat. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan.


8hb Julai 2009

Bertolak ke Belatim pada jam 11pagi, melalui jalan-jalan yang berbatu besar, agak menyukarkan perjalanan kami. Menjelang petang, barulah kami tiba disana. Hanya seorang penduduk disana memeluk agama Islam, iaitu kak Siti Hajar. Kami mengadakan kenduri serta ramah mesra bersama penduduk kampung. Semoga dengan cara ini, dapat menarik mereka memeluk agama Islam, insyaAllah.

Pada sebelah malamnya, program tidak dapat dijalankan kerana kebanyakan penduduk kampung pergi ke kawasan pentadbiran Belatim yang terletak kira-kira 2km dari tempat kami. (Untuk pengetahuan semua, Belatim terdiri dari beberapa kelompok kecil perkampungan). Beberapa orang dari peserta juga tidak melepaskan peluang untuk meninjau program tersebut. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan itu adalah bertujuan mengadakan medical check-up kepada para penduduk kampung. Mereka juga mengadakan pertandingan karaoke bagi menarik para penduduk kampung untuk turun.


9hb Julai 2009

Sedikit perbincangan bersama kak Siti Hajar untuk membesarkan rumahnya diadakan. Tujuan membesarkan rumahnya adalah untuk dijadikan pusat persinggahan dan pengumpulan untuk program-program akan dating, insyaAllah. Kami bergerak pulang pada jam 11pagi ke Kuala Betis.



Mudah-mudahan kembara dakwah ke Pos Balar berterusan hingga matlamat kita tercapai. InsyaAllah, Ameen~



Raihan Farhanah Ahmad,
UIAM..

...

Jika punya gambar di Balar lagi untuk dikongsi bersama sahabat2, sila hantar ke emel ana.. munaluvmusic@yahoo.com. Wallahualam

This entry was posted on 8.10.2009 at 10:49 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 komen anda

Catat Ulasan