Laporan Ekspedisi Kampung Orang Asli
Kotai / Kuntai – Bess wook (17 – 18 Oktober 2009)
Ekspedisi Ummah Aid kali ini diteruskan bagi menjalankan program rutin untuk bulan Oktober ke atas masyarakat Orang Asli. Kali ini ekspedisi ini disertai oleh sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) baru iaitu Pertubuhan Prihatin Kesihatan dan Sosial Malaysia (PRIHATIN MALAYSIA). Ekspedisi ini bermula pada 17 Oktober 2009 hingga 18 Oktober 2009. Sungguhpun tempoh ekspedisi kali ini agak singkat, namun kesannya amat bermakna dan tidak mungkin dapat dilupakan oleh semua sama ada pihak kami ataupun Orang Asli yang terlibat.
Ekspedisi kali ini disertai oleh tiga kumpulan utama iaitu kumpulan dari Selangor, Pulau Pinang dan Perlis. Kumpulan dari Selangor diketuai oleh Akh Fuad, kumpulan dari Perlis diketuai oleh Cikgu Hashim dan kumpulan dari Pulau Pinang diketuai oleh Akh Shah. Jumlah individu yang mengikuti ekspedisi kali ini ialah seramai empat belas orang iaitu lima dari Selangor, tiga dari Pulau Pinang dan enam dari Perlis. Manakala kekuatan kenderaan yang terlibat dalam ekspedisi hanyalah dua buah pacuan empat roda iaitu sebuah Pajero dan sebuah lagi kenderaan tidak asing lagi dalam dunia ketenteraan iaitu Steyr Daimler Puch buatan Austria atau dikenali sebagai “trak anak ba*#” dalam kalangan anggota tentera.
Akh Fuad telah dilantik sebagai amir dalam ekspedisi kali ini, manakala akh Salman dilantik sebagai imam solat jemaah. Muslimat pula dipertanggungjawabkan untuk menyediakan makanan kepada ahli ekspedisi dan Orang Asli. Lokasi utama ekspedisi ini ialah kampung Orang Asli Kotai / Kuntai dan Bess Wook. Keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkan faktor masa yang terhad. Perjalanan ini bermula jam 1430, bertolak dari masjid mukim pekan Lasah. Perjalanan ini terpaksa dilewatkan kerana tayar Steyr Daimler Puch pecah di pertengahan jalan dan terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membaiki dan mendapat alat gantinya. Ia disebabkan kenderaan tersebut adalah edisi terhad, yang hanya digunakan oleh pihak tentera sahaja.
Ekspedisi sebenar bermula jam 1455 yang mana kenderaan ekspedisi mula memasuki jalan merah menuju ke kampung Orang Asli. Ekspedisi ini melintasi lima belas (15) buah kampung Orang Asli termasuklah kampung Orang Asli pecahan. Kampung-kampung tersebut ialah kampung Orang Asli Bawong, Kajang, Saseh, Kemores, Cemakah, Santih, Jai (Jey), Chua’ant, Pos Legap, Rengkeh, Dawoi, Ke’ep, Mendet, Ma’ngis dan Youm. Di sepanjang ekspedisi ini, kami terserempak dengan ramai Orang Asli. Mereka melambai-lambai ke arah kami, mungkin mereka sudah mengenali kami sebelum ini.
Kami rasa teruja dengan keindahan alam semula jadi di sepanjang perjalanan ini, namun sayang ia telah pun mula disentuh dek ‘tangan-tangan’ pembangunan. Banyak bukit bukau yang telah ditarah, keindahan flora dan fauna telah digantikan dengan pelbagai tumbuhan industri seperti sawit, getah, koko dan sebagainya. Ia dilakukan atas alasan untuk menyeimbangkan masyarakat Orang Asli dengan pembangunan arus perdana negara. Sebaliknya, kesan dari tindakan tersebut telah membawa masyarakat Orang Asli ke arah kemiskinan yang lebih parah dan sering dieksploitasi oleh peraih luar untuk mendapatkan hasil mahsul hutan. Saya sempat menemu ramah Orang Asli berkenaan hal ini, mereka pernah menjual kayu gaharu kepada peraih. Kayu gaharu bagi gred A dibeli oleh peraih dengan harga RM2,000-4,000 bagi satu kilogram. Sedangkan apa yang saya ketahui, kayu gaharu gred A mampu mencecah harga RM40,000.00 satu kilogram.
Kami bernasib baik kali ini, kerana sepanjang ekspedisi ini cuaca baik menyebelahi kami. Jadi ekspedisi ini dapat berjalan dengan lancar. Akhirnya, pada jam 1718 kami telah tiba ke destinasi kami iaitu kampung Orang Asli Kotai/Kuntai. Ketibaan kami disambut oleh bekas Batin/Penghulu kampung Orang Asli Kotai/Kuntai iaitu Pak Karim dan isterinya. Perjalanan kami mengambil masa hampir tiga jam, dianggarkan jarak perjalanan kami ini ialah sejauh 40km (satu minit bersamaan 200-300 meter).
Perkara pertama yang kami lakukan sebaik sahaja tiba di kampung Orang Asli Kotai/Kuntai ialah membahagikan sedikit makanan kepada kanak-kanak Orang Asli. Selepas itu, kami bersiap-siap untuk menyediakan makan malam. Kerjasama yang baik menyebabkan persiapan makan malam kami berjalan dengan lancar. Sebaik sahaja waktu maghrib tiba, cikgu Hashim dengan suaranya yang lantang melaungkan azan. Laungan azan yang bersemangat tersebut bisa mengetuk jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya. Alhamdulillah laungan azan tersebut disahut oleh Orang Asli dengan berboyong-boyong menyertai kami dalam solat maghrib dan Isyak secara berjemaah.
Sebaik sahaja solat jemaah selesai, Orang Asli dijamui dengan makan malam. Menu makan malam ialah nasi, kari ayam, sayur dan ikan. Saya masih ingat ayat untuk memanggil Orang Asli untuk menyertai kami untuk makan malam... “Mado, chak raya!” (Mari makan besar) atau “Mado chak chanak” (mari makan nasi). Saya terasa sungguh terkejut kerana saya tidak sangka makanan untuk sukatan orang dewasa, mampu dihabiskan oleh kanak-kanak. Saya tertanya-tanya kenapa ini berlaku. Menurut akh Shah, Orang Asli di kawasan ini jarang sekali berkesempatan untuk makan nasi, mungkin dalam sebulan sekali mereka dapat menikmati menu nasi. Saya juga rasa terkejut, mereka sanggup makan kerak nasi sedangkan kita di sini pandang pun tidak. Ia menginsafkan saya, jangan memilih dalam makan, jangan membazir. Bersyukur kepada ALLAH atas rezeki yang dikurniakan-NYA. Di sini juga menyerlahkan keindahan dan keadilan Islam, menggalakkan umat bersedekah dan mengeluarkan zakat untuk membantu golonagn seperti ini. Dicelah-celah lamunan tersebut, Orang Asli bersuara “Tabel chanak, chanak tabel” (Tambah nasi).... “Tabel ayam, ayam tabel” (Tambah ayam).
Selepas itu, saya berkesempatan untuk berbual-bual dengan batin atau penghulu kampung Orang Asli Kotai/Kuntai iaitu Penghulu Ahmad. Saya dijemput ke rumahnya, saya ke sana lebih kurang jam 2115. Perbualan kami merangkumi pelbagai perkara, seperti masalah pendidikan, sosioekonomi, budaya, adat, interaksi, bahasa dan sebagainya. Perbualan kami ditemani dua orang penduduk kampung iaitu Rashid dan anak penghulu Ahmad. Perbualan kami banyak menyentuh aspek pendidikan dalam kalangan pendudukan tempatan. Hanya sekumpulan kecil anak-anak Orang Asli pergi ke sekolah. Ini menyokong fakta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) bahawa hampir 30% anak-anak Orang Asli tercicir dari persekolahan. Di antara faktornya ialah jarak sekolah yang jauh. Setelah saya selidiki, terdapat faktor lain iaitu faktor dalaman Orang Asli sendiri yang mana saya dapati terdapat anak-anak Orang Asli yang tidak berminat untuk ke sekolah. Di akhir perbualan kami, penghulu Ahmad menjemput saya untuk melawat sekeliling kampung pada keesokan harinya terutamanya melawat ladang padi bukitnya. Saya pulang ke pondok kami pada jam 2230.
Pada sebelah paginya, setelah solat subuh, saya dikehendaki menyampaikan tazkirah. Saya menyentuh aspek kepentingan dan ancaman dakwah dalam kalangan Orang Asli. Isu ini mendapat respons yang baik dari semua terutamanya dari Cikgu Hashim. Setelah itu, kami dipecahkan kepada dua kumpulan, pertama kumpulan yang akan ke kampung Orang Asli Bess Wook manakala satu kumpulan lagi perlu tetap berada di Kotai / Kuntai. Saya mengambil keputusan untuk tetap berada di kampung Orang Asli Kuntai / Kotai kerana saya ingin mengambil peluang ini untuk melawat seluruh kampung ini. Saya dan Salman berkesempatan menemani Penghulu Ahmad melawat kampung terutamanya ladang padi Bukit beliau. Jumlah penduduk kampung kotai / Kuntai ini ialah seramai 119 orang dari 21 buah keluarga. Saya dibawa ke ladang padi bukit yang paling tinggi di kampung tersebut. Indah sungguh pemandangan kampung Orang Asli Kotai / Kuntai jika dilihat dari atas. Di sana, saya berkesempatan berbual panjang dengan Penghulu Ahmad terutamanya tentang pengetahuan peribumi (Indigenous Knowledge). Penghulu Ahmad tidak kedekut untuk mengongsinya dengan kami.
Setelah itu, saya dan Salman kembali ke pondok kami untuk membantu menyediakan makanan untuk makan tengah hari. Setelah siap menyediakan makanan tengah hari, saya, Salman, Fuad dan adik Firdaus telah dibawa oleh Johari dan Hamdan (penduduk Orang Asli) ke kawasan air terjun yang sungguh indah dan cantik. Saya sempat melihat gelagat kanak-kakak Orang Asli menunjukkan pelbagai aksi dan lagak ngeri. Kami telah diejek sebagai ‘natu’ iaitu takut kerana tidak berani meniru aksi mereka.
30 minit kemudian, kami telah menjemput Orang Asli untuk makan tengah hari bersama kami sebagaimana lazimnya. Setelah itu, kami mengagihkan beras, gula dan beberapa jenis makan lain lagi kepada penduduk tempatan. Mereka sangat teruja untuk menerima makanan tersebut. Kegembiraan mereka jelas kelihatan di wajah-wajah mereka. Selepas itu, kami mengagihkan pakaian yang disumbangkan oleh pelbagai pihak kepada Orang Asli. Mereka sangat berterima kasih kepada semua golongan yang telah memberi sumbangan yang sangat bermakna kepada mereka.
Setelah menunaikan solat Zuhur dan Asar (Jamak takdim), kami mengadakan khadim. AlhamduliLLAH ekspedisi kali ini berjaya sebagaimana ekspedisi sebelum ini. Tepat jam 1415, kami telah berangkat pulang ke pekan Lasah. Kepulangan kami dihantar dengan penuh rasa berbesar hati oleh penduduk kampung Orang Asli Kotai / Kuntai. Lebih kurang jam 1700, kami tiba di masjid mukim pekan Lasah. Kami berpecah di sini dan berikrar untuk terus istiqamah mengadakan ekspedisi seperti ini pada masa yang akan datang. Semoga ALLAH merahmati usaha yang mulia ini. Amin.
Disediakan oleh:
W. A. Amir Zal Wan Ismail.
http://palestinefolder.blogspot.com
http://waamirzal.blogspot.com
sila layari untuk gambar penuh progrm. klik sini
Alhamdulillah, pada 3-10 Julai 2009, Ustaz Wahab bersama Muhammadiyah International dari Thailand, beberapa pemandu 4x4 dari Perlis, ABIM dan beberapa mahasiswa serta wakil dari Pos Kuala Mu, iaitu Pak Hadu, Khadijah dan Zaidah, meneruskan aktiviti kembara dakwah perkampungan Orang Asli. Diantara kampung yang disinggahi termasuklah Pos Sungai Rual, Kg Ippes, Pos Balar, Kg Dakoh dan Kg Belatim.


3hb Julai 2009
Kembara dakwah kami bermula pada 3hb Julai, dimana kami singgah di Pos Sungai Rual, Jeli Kelantan menziarahi rakan-rakan sedakwah dari COMRADE UIA (http://comradeuiam.blogspot.com) menjalankan aktiviti dakwah, pendidikan dan kajian kepada penduduk di sana, yang rata-ratanya bersuku Bateq dn Jahai. Diantara aktiviti-aktiviti yang sempat kami saksikan termasuklah kelas modul dengan adik-adik, hari sukan, malam kebudayaan, solat jamaah bersama penduduk kampung yang mendapat sambutan terutamanya di kalangan kanak-kanak. Program yang diadakan mereka menggunakan metod baktisiswa, walau dalam masa yang sama menekankan tujuan mereka iaitu dakwah, pendidikan dan kajian.
Semalam di sana, keesokannya kami bertolak ke RPS Betis.
4hb Julai 2009
Kami bertolak ke RPS Betis bagi menemui rakan seperjuangan, ABIM. Persiapan dilakukan pada hari ini dan keputusannya, kami bertolak pada keesokan harinya.
5hb Julai 2009
Kami bertolak menaiki 4 buah kenderaan, iaitu 2 pajero, sebuah land cruiser serta sebuah kenderaan pickup kepunyaan Ustaz Wahab. Alhamdulillah, perjalanan kami yang bermula selepas Zohor berjalan lancar, hanya beberapa kesulitan yang dihadapi, dan Alhamdulillah, pada jam 10 malam, barulah kami tiba di Kampung Ippes, salah satu kampung dibawah pentadbiran Pos Balar, setelah menyeberangi dua buah sungai.

Alhamdulillah, malam itu juga kami didatangi penduduk kampung dan proses ramah mesra dengan penduduk kampung bermula pada malam itu juga.

6hb Julai 2009
Program ramah mesra bermula, dimana beberapa program dijalankan, termasuklah sukan dikalangan belia dan beliawanis Orang Asli yang terdapat dikampung tersebut. Sukan yang dijalankan berjalan dengan meriah. Selepas itu, kami menjemput seluruh penduduk kampung untuk makan tengah hari bersama-sama. Di antara masalah yang kami hadapi disana ialah kanak-kanak yang masih tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu.
Pada sebelah malam pula, satu malam kebudayaan diadakan.
7hb Julai 2009

Setelah berkemas, kami bertolak ke Dakoh. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah di Pos Balar, dimana kami sempat beramah mesra dengan beberapa penduduk, penggerak yang baru dua minggu bertugas di sana dan juga para guru yang bertugas di sekolah tersebut.
Berkenalan dengan Kak Merah dan suaminya adalah sesuatu yang bermakna kepada kami. Kak Merah yang berasal dari Tenom, Sabah dan suaminya, seorang Temuan yang berasal dari Selangor bertemu di Kok Lanas, dan ditugaskan menjadi penggerak di sana. Kami turut menyelami suka-duka mereka berdua dalam masa seminggu bertugas. Nyata, pada permulaan tugas ini, terdapat halangan-halangan dari pelbagai pihak, dan juga persekitaran. Namun mereka kuatkan semangat , dan yakin bahawa dengan janji Allah kepada manusia yang melakukan kebaikan. Mudah-mudahan jalan mereka dipermudahkan Allah, ameen~
Di sekolah pula, kami menyelami hati beberapa guru mengenai masalah yang dihadapi sepanjang mendidik anak-anak dipedalaman. Tidak mudah untuk bergelar guru di kawasan pedalaman seperti Balar, namun Alhamdulillah, mereka dikurniakan kekentalan mental dan fizikal, dan tidak akan berputus asa dalam berbakti kepada sesama manusia. Alhamdulillah. Ketika itu, saya teringat puisi Usman Awang yang masyhur terutamanya ketika Hari Guru menjelma, diantara petikannya:
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Kami meneruskan perjalanan kami ke Dakoh. Subhanallah! Hanya kata-kata itu yang terbit dihati kami, melihat keindahan kampung ini. Hanya terdapat beberapa buah rumah di sini, dan rata-ratanya memberi respon yang baik untuk belajar agama Islam. Dakoh mempunyai potensi untuk mengembangkan agama Islam disana.

Di antara program yang dijalankan disana termasuklah kenduri, tayangan video perjalanan ke Pos Balar yang lepas dan juga kelas Fardhu Ain, menekankan beberapa ajaran seperti Syahadah, Fatihah dan juga solat. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan.
8hb Julai 2009
Bertolak ke Belatim pada jam 11pagi, melalui jalan-jalan yang berbatu besar, agak menyukarkan perjalanan kami. Menjelang petang, barulah kami tiba disana. Hanya seorang penduduk disana memeluk agama Islam, iaitu kak Siti Hajar. Kami mengadakan kenduri serta ramah mesra bersama penduduk kampung. Semoga dengan cara ini, dapat menarik mereka memeluk agama Islam, insyaAllah.
Pada sebelah malamnya, program tidak dapat dijalankan kerana kebanyakan penduduk kampung pergi ke kawasan pentadbiran Belatim yang terletak kira-kira 2km dari tempat kami. (Untuk pengetahuan semua, Belatim terdiri dari beberapa kelompok kecil perkampungan). Beberapa orang dari peserta juga tidak melepaskan peluang untuk meninjau program tersebut. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan itu adalah bertujuan mengadakan medical check-up kepada para penduduk kampung. Mereka juga mengadakan pertandingan karaoke bagi menarik para penduduk kampung untuk turun.
9hb Julai 2009
Sedikit perbincangan bersama kak Siti Hajar untuk membesarkan rumahnya diadakan. Tujuan membesarkan rumahnya adalah untuk dijadikan pusat persinggahan dan pengumpulan untuk program-program akan dating, insyaAllah. Kami bergerak pulang pada jam 11pagi ke Kuala Betis.

Mudah-mudahan kembara dakwah ke Pos Balar berterusan hingga matlamat kita tercapai. InsyaAllah, Ameen~
Raihan Farhanah Ahmad,
UIAM..
...
Jika punya gambar di Balar lagi untuk dikongsi bersama sahabat2, sila hantar ke emel ana.. munaluvmusic@yahoo.com. Wallahualam
karya Zulzaidi Mahmod
Kali pertama aku pergi ke Kuala Mu, baru aku sedar betapa berharganya sebuah dakwah. Rasulullah dalam medan menyebarkan kalimah tauhid menempuh dan mengharungi banyak rintangan dan halangan. ” Zaidi! Anta bawa yala” arah Ustaz Wahab kepada aku. Tersentak aku dari lamunan mengingatkan betapa indahnya perjalanan Kuala Mu sewaktu aku pergi sebelum ini. ”baiklah ustaz” jawab aku sambil melangkah ke bangku pemandu land rover yala.
Aku melihat di tangan jam tapat menunjukkan pukul 3.45 pagi. Pagi itu aku memandu paling hadapan dibarisan deretan kenderaan yang masuk ke Kuala Mu pada kali ini. Aku melihat teman- teman lain dari kalangan muslimat dan muslimin mula mendodoikan mata mereka sehingga kelopak mata atas dan bawah bertemu. Aku terpaksa mencengkang mata, jika aku leka maka nahas mudah menimpa. Aku hanya melihat arah hadapan sewaktu memandu, kadang-kadang aku terpaksa mengelak lubang-lubang lumpur agar penumpang di dalam land rover bisa dan terus dibuai mimpi-mimpi indah. Perjalanan walaupun berliku-liku, aku tetap gagahinya kerana kalimat shahadah perlu disampaikan kepada Orang Asli. Islam tidak hanya meletakkan kalimat tauhid sebagai teras pembinaan Aqidah Islam, tetapi ketauhidan itu perlu diterjemahkan dalam perilaku.
Sambil aku memadu menikmati udara segar, sedang tingkap aku buka agar angin dapat menampar pipiku yang kasar dan berjeragat ini, aku memikirkan satu kisah bagaimana Nabi berdakwah. Angin malam mula menusuk ke dalam dadaku menyusur melalui lenganku yang sengaja aku keluarkan melalui tingkap. Fikiranku hanya mengingatkan kisah dakwah itu. Seorang yahudi buta yang Allah buka pintu tauhidnya selepas wafatnya Nabi. Setiap hari Nabi pasti ke rumah itu, mananak makanan dan menyuapkan ke dalam mulut seoarang Yahudi buta. Yahudi tu hanya tahu menempelek Nabi dengan kalimat-kalimat yang mengigit iman seorang Muslim. Penghinaan, cacaian dan makian yang dilemparkan kepada Nabi hanya menambahkan kecekalan Nabi untuk terus berdakwah kepada yahudi itu dengan hanya menggunakan suapan. Yahudi itu tidak tahu bahawa yang dicaci, dimaki, diherdik adalah lelaki yang menyuapkan setiap butir makanan dalam mulut yahudi itu. Tetapi selepas wafatnya Nabi kerinduan menikmati suapan seorang lelaki yang bergelar Rasul itu tidak kesampaian. Khalifah Islam pertama Abu Bakar mula melakukan apa yang pernah dilakukan nabi kepada yahudi itu, dan ternyata tidak sama dengan kelembutan dan keizzahan yang ditonjolkan oleh Muhammad s.a.w. Menyedari bahawa lelaki yang pernah menyuapkan makanan ke mulutnya, yang dimaki, dicaci itu Muhammad barulah yahudi itu percaya bahawa Islam itu sangat indah.
”Zaidi! Kita dah sampai mana?” tanya Ustaz Wahab yang berada disebelahku sambil menenyeh mata. ”kita dah nak dekat R&R ni, kita solat subuh disitu je la ustaz” jawabku dengan menambah sedikit cadangan. ”baik” jawab ustaz ringkas. Aku terus memandu menyusur kediaman Orang Asli yang mula menampakkkan kemodenan dan pembangunan, tatapi aku terus terfikir adakah dengan pembangunan ini, keAslian mereka akan pudar dan hilang. Aku menekan brek kaki tanda perjalanan di pertengahan jalan sudah sampai. Muslimin dan muslimat yang berada dalam yala mula ternganga dan tercengang kerana mereka masih lali dan melamun dari tidur mereka.
Pagi itu sangat hening, hanya suara unggas-unggas menyanyikan lagu-lagu mengikut rentak dan irama alam yang berbunyi. Aku tidak dapat melihat keliling kerana terlalu gelap, cuma nampak cebis-cebis cahaya lampu yang keluar dari lampu suluh dahi Ustaz Wahab. Aku, faisal dan Epal mula bergerak perlahan-lahan menuju ke anak sungai untuk mengambil wuduk. Selesai berwuduk kami solat berjemaah bersama-bersama diimamkan oleh Jundu temanku dari Maahad Tahfiz Alor Setar. Selesai solat kami dihidangkan dengan sedikit tazkirah oleh Abang Shah. Aku tahu bahawa teman-teman yang baru masuk ke Kuala Mu masih tidak mengerti apa tujuan sebenar perjalanan ini. Abang Shah hanya memberikan sedikit kata kunci perjalanan ini. ”kita Cuma mahu bagi makan kepada anak orang Asli” kata Abang Shah kepada semua teman-teman.
Perjalanan tetap diteruskan ke Kuala Mu, mentari mula menyinarkan kilauan cahayanya, langit hitam melabuhkan warnanya kerana malu melihat mentari memancar pekat ke dada langit. Hari semakin cerah dan perjalan masih suku lagi untuk sampai. ”ustaz! Bukit Petai ni boleh naik ke? Macam licin je?” Tanya aku kepada Ustaz Wahab untuk mendapatkan kepastian. Ustaz Wahab dengan tersenyum menampakkan barisan giginya yang penuh berkata ”anta jangan takut la, insyaAllah boleh naik”. Aku terus menolak gear dua kepada gear satu agar pendakian Bukit Petai ini mudah. ”Allah, Allah, Allah” terpancul aku kalimat ini untuk meraih sedikit kekuatan untuk meneruskan pendakian. Alhamdulillah setelah menempuh rintangan denai rimba tiba juga kami ke Kuala Mu.
”Abang Zaidi! Ini ke rumah mereka?”tanya Epal kepada aku. ”semestinya” jawab aku sambil tersenyum manis kepada epal yang berpewatakan sedikit lembut. Rumah Orang Asli Kuala Mu masih seperti dulu beratapkan rumbia, berdinding dan berlantaikan buluh. Anak-anak kecil berkejar-kejar sesama mereka tanpa memakai selipar dan tercalit sedikit lumpur-lumpur tanda mereka anak Kuala Mu. Kami berkemas-kemas mengangkat beg-beg untuk diletakkan di dalam pondok rehat. Pondok itu boleh dikatakan sebagai hotel setaraf Seri Malaysia di Sungai petani kerana itulah pondok yang terbesar dalam kampung Kuala Mu.
Kami membuat sedikit mesyuarat untuk memudahkan agenda kami pada kali ini. ”petang nanti kita akan bertolak ke Beswok, itu cadangan saya” kata Ustaz Wahab tersengih-sengih meminta sokongan. ”ramai ke yang setuju?” tanya Salman anak Cikgu Mi kepada semua peserta. Melihat kanan dan kiri ramai yang mengangguk tanda cadangan Ustaz Wahab itu diterima. ”jadi sekarang kita akan buat sedikit makan besar” ujar Salman kepada teman-teman. Makan besar dalam bahasa Asli disebut ”cak Raya”. Sebenarnya dakwah ini cukup mudah, kita hanya perlu memberi makan kepada orang Asli yang belum Islam ini.
Taman-teman muslimat mula berkawan dengan anak-anak Orang Asli. Kelihatan anak Orang Asli cukup gembira dengan kedatangan kami. Aku berlari-lari anak menuju kepada mereka sambil memegang gula-gula untuk diberikan kepada mereka. Aku berkata kepada anak orang Asli jika mereka mahukan gula-gula perlu ikut apa yang aku cakap. ”Ashhadu” aku mengarahkan mereka menyebut kalimat itu sambil mengangkat jari telunjuk menunjukkkan ke langit sebagai simbol shahadah. Jawab mereka malu-malu alah. ”an la ilaha illallah” mereka terus mengikut apa yang aku cakap sambil menolak kawan-kawan mereka. ”wa ashhadu” kalimat ini terus mereka ikut kerana mahukan gula-gula. ”Anna muhammmadarrasulullah” gembira benar hati aku apabila mendengar tutur shahadah dari bibir mereka. Aku memberikan mereka seorang satu gula-gula.
Aku amat sedih melihatkan pakaian mereka yang lusuh, tidak berbasuh dan pakaian yang terlekat di dada mereka nampak begitu kotor keadaannya. Dari sudut kebersihan mereka memang tidak mementingkannya, tetapi mereka terlalu sihat. Aku, Faisal menjeling antara kami. ”Zaidi! Depa memang tak sakit ke? Awat depa nampak sihat je?” Tanya faisal sambil menuding jarinya kepada sekumpulan wanita Orang Asli yang berdiri di depan sebuah rumah sambil mendukung anak mereka dengan pelbagai cara. ”aku pun tak tau, tapi sememangnya mereka lebih sihat dari kita, sebab mereka berkawan dengan alam, kesihatan mereka usah ditanyalah, orang-orang tua yang berumur 60 tahun pun kuat lagi” jawab aku.
Makanan yang dimasak oleh Abang Shah sudah siap disaat aku dan teman-teman lain asyik bermain dengan anak-anak Orang Asli. Permainan kami hanya memberi mereka kertas dan pensil untuk mereka melukis. Terkejut aku melihat cara mereka melukis sehinggakan ada seorang diantara mereka melukis gambar land rover dengan cantik. ”Zaidi bagi tau budak-budak tu bawa pinggan, makanan dah siap” laung Abang Shah sambil memegang senduk nasi. ”adik-adik, balik rumah ambil ayan” arah aku kepada anak-anak Orang Asli. Mereka terus bertempiaran mengambil pingan dan segera beratur mengambil makanan. Alhamdulillah makan cukup diberikan kepada orang kampung. Aku melihat mereka cukup gembira dengan kedatangan kami, kerana kami memberikan mereka makan nasi. Kalau kita nasi yang tidak habis dan sisanya dibuang ke tong sampah adalah perkara biasa. Tetapi mereka menganggap nasi adalah makanan paling istimewa kerana mereka sukar untuk memperolehinya kerana terlalu mahal. ”Shah! Lori garam tertumpah ke? Perli Abang Nuar sambil memegang sebutir besar garam yang belum larut dalam gulai telur yang dimasak. Kami yang berada disitu ketawa mendengar kata-kata Abang Nuar kepada Abang Shah. Selepas selesai mereka makan dan semua periuk dan perkakas disimpan dalam land rover maka kami mula mengemas pondok yang kami tinggal.
”Salman! Mari kita bertolak ke Beswok, takut nanti hujan” arah Ustaz Wahab yang memagang tongkat diberanda pondok. ”sahabat-sahabat! Lagi lima minit kita akan bertolak, jadi pastikan tiada apa-apa barang yang tertinggal” laung Salman kepada kami. Kami mula mengambil tempat dalam land rover masing-masing, anak-anak Orang Asli mula melihat sesama mereka. ”Abang datang bila lagi” tanya Angah seorang budak perempuan Asli kepada Amer. Amer menjawab sambil memegang bahu budak perempuan itu dengan nada yang membuatkan aku sebak ”abang balik dulu, bulan depan abang datang balik jumpa dengan adik, nanti abang bagi tudung pada adik”. Aku yang memandu land rover yala mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan pondok. Kanak-kanak Orang Asli berkejaran antara mereka membontoti land rover kami menampakkan riak wajah mereka yang tidak mahu kami pergi. ”nanti abang datang lagi” laung Amer kepada mereka sambil melambai tangan. Kami pasti akan datang lagi kerana dakwah kami kepada mereka mesti berterusan. Kami Cuma mengharapkan mereka berhijrah kepada Islam, jika kali ini tiada yang hijrah kepada Islam, esok mereka akan berhijrah kepada Islam, jika tidak esok, lusa mereka berhijrah kepada Islam, jika tidak lusa hari berikutnya mereka berhijrah kepada Islam, dan jika seterusnya mereka tidak berhijrah kepada Islam, mendatang mereka akan berhijrah kepada Islam walaupun kami sudah menutup mata dan kami tetap mengharapkan mereka berhijrah kepada Islam.
8 pagi 29 Jun 2008
.....
Mengintai-intai blog sahabat kita, bertemu dengan cerita pendek penuh makna ini. Mengimbau kenangan menggamit memori penuh kerinduan dan harapan pada Kuala Mu yang satu. :))))
KUALA MU – JULAI 2009 Pertama kali diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke perkampungan orang asli sungguh menggembirakan.Apa tidaknya ,setiap kali nak join ada je halangan yang datang.Tapi ALHAMDULILLAH syukur kepada ALLAH yang sentiasa membantu hamba-hambanya.
Perjalanan kali ini disertai 4 muslim iaitu Akh Salman , Abg Zaidi, Abg Fuad, Jundullah dan 3 muslimat iaitu Muna 'Izzah, Attiqah and org yang buat laporan ni-).Dan org penting driver Cikgu Hasyim .Ketiadaaan kenderaan memaksa saya menumpang Fuad dan Zaidi.Walaupun keseorangan , tp semangat untuk ke sana melebihi segala-galanya(ceeewahh).Kami mula bertolak dari Selayang dalam pukul 12 tgah malam dan sampai di masjid tpat jam 6.30 pagi.Alhamdulillah kami sampai dengan selamat.
Pertemuan dengan 2 muslimat di sana mengurangkan sikit ketakutan yang ada.Best jgk dpt kawan2 baru heeee.Ini tidak asyik2 baca buku, mengadap buku, rasa nak makan je buku2 tu, whateverRR…Selepas solat subuh, kami megadakan perjumpaan utk membincangkan ttg ekspedisi ini dan secara rasminya Encik Zaidi dilantik menjadi Amir utk kali ini.Sebelum bertolak kami mengalas perut dahulu dengan roti canai maklumlah nak kumpul tenaga nak jalan jauh.Pagi itu jugak Cikgu Bob datang tp tidak dapat menyertai kami kerana ada urusan yang perlu diuruskan.
Cuaca pagi itu mendung tidak seceria dan segirang hati kami.Terpksalah kami bertolak lewat sedikit dari perancangan kerana hujan renyai-renyai.Lebih kurang pukul 11 pagi kami pun mula bertolak ke Kuala Mu.Walaupun ‘org baru’ tapi rasa gembira sangat kerana dapat menyesuaikn diri dengan org2 lama yang lebah banyak pengalaman. Sepanjang sejam pertama, perjalanan kami berjalan dengan lancar sehinggalah muncul anak ular di atas jalan.Dengan izin ALLAH, anak ular itu pergi dan kami pula meneruskan perjalanan.
Perjalanan kali ini tidak sehebat ekspedisi yang sebelum2 ni di mana perjalanan kami berjalan dengan lancer.Land rover pula tdk pernah pula buat hal dan syukur kami tidak prlu bergelut dalam lumpur untuk ke sana.( tp rupa2nya ada jgk budak yg x puas hati krn x dpt msuk lumpur heee) Disangkanya panas hingga ke petang, rupa2nya hujan di t.hari.Di persimpangan antara Kuala Mu dan Kotai,tiba-tiba mendung kelihatan menyelubungi kawasan Kuala Mu.Hajat di hati ingin sampai di Kuala Mu tp terpaksa dibatalkan.Mugkin ada hikmah di sebaliknya
Kak Jinon Kg Kotai
Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Kotai dengan semangat yang masih membara tp agak kecewa namun perjuangan itu sesungguhnya tidak pernah mengira tempat.Tibanya di Kotai dalam pukul 1.30 t.hari kami solat zohor dan membuat ‘cak raya’ dengan memasak bubur nasi.Tengok kanak2 makan dgn seleranya pun sudah rasa puas di hati ini.Semasa berada di sana, sempat juga kami bercakap-cakap untuk ke Kuala Mu.Ternyata mimpi itu akhirnya menjadi kenyataan.Melihat kan cuaca yang mengizinkan dan cikgu pun bagi lmpu hijau, kami pun bertolak ke sana lebih kurang dalam pukul 4 ptg.Perjalanan ke sana sememangnya lebih mencabar daripada Kotai kerana keadaan bukitnya yang tidak sekata dan agak licin tapi mujurlah tiada yang menghalang kami selain jalan yang becak dngan air.Syukur kepada ALLAH kerana land rover masih ada cermin ,pintu dan tayar semasa tiba di sana heeee… .
Lebih kurang pukul 6.30 ptg kami tiba di Kg.Bersah .Kehadiran kami disambut dengan meriahdan sorok sorai kanak-kanak di
Esok paginya ,kami membuat sedikit cak raya’ berlaukkan nasi,kari telur n sayur.Lebihan-lebihan makanan yang ada dibahagi-bahagikn kepada org2 di
Lubuk Taring yang menenangkan...
Sesudahnya kami muslimat membawa budak2 mandi di Lubuk Taring.Satu yang saya tak dapat lupakan ialah seorang kanak2 perempuan 2(xingat pulak nama apa) sanggup undur balik dan pegang tangan saya semasa on d way ke Lubuk Taring kerana perasan saya agak ketinggalan jauh d belakangLepas tu kami jalan sama-sama.A VERY SWEET MEMORY……
Cikgu Hasyim bersama anak-anak Kuala Mu
Selesai semuanya kami semua berkemas kemas utk pulang.Selamat tinggal Lubuk Taring n Jeng Jeng…Entah kali ke berapa mereka bersalam sebelum kami bertolak pulang(sedih dan lucu semua ada).Seperti biasa kami singgah d rumah penghulu Hadu seblum bertolak pulang dan sekali lagi kami di jamu ubi kayu…..(special ubi kayu ,bkn men2 beb).Dlam pukul 2 ptg selepas solar Zuhur kami pun bertolak pulang.Allhamdilillah semasa bertolak pulang cuaca cerah dan jalan pun agak stabil.Tapi yang herannya itu yang menjadi masalah kat ‘Abg’ Zaidi .Katanya tak sah kalau masuk ‘kering’ tp keluar pun ‘kering’ jugak.Tak best katanya…Whatever lah….
Bersyukur sangat2 dapat mengenali sahabat2 semua. Semoga ukhuwah kita semua tidak berhenti di sini.Sama2 lah kita Perjuangkan ISLAM dengan 1000 tekad dan niat yang ikhlas InsyaAllah.
‘dan orang yang berusaha bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Kami, sesungguhnya Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka berrgembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya( pertolongan dan bantuan) ALLAH beserta orang yang berusaha membaiki amalannya’ Al-Ankabut
Semaga perjuangan kita memperolehi keredhaanNYA……Amin
Salam Berkenalan
Nurul Azmaihan Bt Azmi
UITM SHAH ALAM
...
**masih menunggu gambar dari Akh Fuad :))

Kuala Mu.
Kusambut tanganmu Kuala Mu,
Kutatap matamu serta wajahmu,
Dengan penuh harapan dan,
Kegembiraan menyambutku,
Tanpa rasa ragu-ragu.
Kuala Mu, tanganmu kusambut,
Matamu kupaut,
Harpanmu kugengam,
Dengan segala kekuatanku,
Untuk membawamu ke puncak kegemilangan.
Kuala Mu, kau sambut tanganku,
Dengan keindahan panorama alam,
Burung-burung berkicauan,
Angin petang yang menghembus,
Amat nyaman kurasakan.
Kuala Mu, suasana malammu yang nyaman,
Jauh dari kesibukan kota yang mencengkam,
Jiwaku kosong bagai malam itu,
Sungguh indah dan permai,
Bagai dibuai alam mimpi.
Kuala Mu, tidakkan kulupakan,
Saat indah bersamamu,
Akan kudatang melengkapkan rinduku,
Nanti pulang sentiasa di benak fikiranku,
Sampai malam bermain dalam mimpiku.
Nukilan;FUAD(abu), 19Muharam1429H, 28-01-08.
Kamar KTP,UPM.
Ummah Aid
- ummahaid
- diterajui oleh aktivis dalam pelbagai lapangan, pergerak dalam pelbagai kaedah demi menyebarkan syiar ISLAM
"Wahai orang-orang yang beriman! Maukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?
(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui"
Surah Soff : 10-11
Kategori
Blogger
-
Mee Bandung 'saya' v(^_^!)v - بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Ha, rajin pula ana update blog, cuti kata kan :p. Jadi, entri kalini kita main masak-masak :p Ok, h...2 beberapa hari yang lalu
-
Masa Untuk Beruzlah. Salam Perpisahan buat semua :) - بسم الله الرحمن الرحيم Salam Perjuangan Berkira-kira dalam hati sejak minggu lepas untuk berhenti menulis buat sementara waktu, atau mungkin untuk selama-...3 beberapa hari yang lalu
-
PERPECAHAN UMMAT... - BACALAH DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI... HARI INI JIKA KITA LIHAT, RENUNG, FIKIR, TENGOK, TATAP DAN DENGAN BERMACAM REAKSI L...1 minggu yang lalu
-
Peringatan Buat Insan Yang Lemah Hatinya... - Assalamualaikum wbt... Malam ini air mata mengalir tiba-tiba... Entah kenapa.. Cepat2 naskah Al-Quran yang menjadi peneman sejak 3tahun yang lepas ana ambi...1 minggu yang lalu
-
Perasaan Kekitaan - Kali ini saya diberi peluang untuk singgah ke bumi Borneo, Sarawak bumi Kenyalang. Perjalanan kali ini menggunakan khidmat penerbangan *Malaysia Airline...2 beberapa minggu yang lalu
-
Selamat Tinggal... - Insyaallah kami sekeluarga akan ke kanada selama 4 tahun, pada 27 September 09. Dari Penang ke KL – 5.30 petang . Dari KLIA ke London 11.40 malam. Kami ...1 bulan yang lepas
-
JEMPUTAN MENYERTAI UZLAH TAZKIYYAH RAMADHAN API - Assalamualaikum wbt, Kehadapan Sahabat - Sahabat Muslimin dan Muslimat, Putera dan Puteri Islam Sekalian, Para Mujahid dan Mujahidah,serta... Para Dai'e...3 beberapa blan yang lalu
-
ASSALAMU'ALAIKUM WBT, IMPIAN RAMADHAN KAREEM... - IMPIAN RAMADHAN KAREEM Rayuan Sumbangan Rumah Anak Yatim/Miskin Taman Baiduri Sabda Rasulullah SAW Apabila matinya anak Adam,, maka putuslah segala ...3 beberapa blan yang lalu



