Perjalanan Ke Rumah Kebajikan Abu Nur  

Posted by ummahaid

Salam, di sini sy muatkan luahan 2 org sahabat yg pertama kalinya mengunjungi Rumah Kebajikan Abu Nur yg terletak di Pgkalan Hulu, Perak. Smga luahan hati dpt memberi sdkt sbnyak renungan kpd kta ttg khdpan yg mgkn xprnah terfikir bg kta yg terleka di bawa arus kemewahan dunia. Ratapilah luahan rasa hati ini...

Bismillahirrahmanirrahim,

Pertama kali diceritakan oleh seorang sahabat tentang Abu Nur,hati kami seakan terpanggil untuk menjejakkan kaki ke rumah ini.Seakan ada sesuatu yang amat istimewa yang perlu kami terokai di Abu Nur.Sahabat menceritakan suasana kekeluargaan di Abu Nur diselangi dengan nama-nama yang mungkin agak popular di sana,Asma,Hani,Kak Ita dan beberapa nama lagi yang tidak disebut disini.Apa yang pasti,semangat kami cukup berkobar-kobar menantikan saat ketibaan di Abu Nur nanti.Namun,di celah-celah kegembiraan dan kesungguhan kami untuk melihat sendiri suasana Abu Nur,kami dihambat rasa sebak dan amat sedih memikirkan nasib yang menimpa anak-anak ini.Jauh di sudut hati kami,kami amat berharap,kehadiran kami di Abu Nur nanti mampu memberi segaris kegembiraan di hati anak-anak Abu Nur.Hanya itu yang kami harapkan.

Kami bertolak dari Stesen Bas Bukit Mertajam,Pulau Pinang lebih kurang jam 5.00 petang menaiki bas menuju ke Sungai Petani.Sahabat memberitakan sebelum itu bahawa kami akan bermalam di rumah Cikgu Azmi di Kampung Merbok.Perjalanan selama lebih kurang 2 jam langsung tidak membebankan kami.Sepanjang perjalanan,kami sekadar berdiam seribu bahasa.Namun kami pasti,gelodak hati kami sama.Kami tidak pernah berhenti memikirkan suasana dan keadaan yang bakal kami tempuhi di Abu Nur.Adakah kami mampu untuk menggembirakan hati-hati mereka yang sudah pasti terlalu dambakan kasih sayang dari insan-insan bernama keluarga?Persoalan yang tidak putus bermain di fikiran kami ketika itu. Semalaman di rumah Cikgu Azmi,kami hangat membincangkan tentang apa yang bakal kami jalankan esoknya.Tersemat teguh di hati kami akan nasihat yang selalu diberikan seorang sahabat, ‘buat yang terbaik!’.

11 Mei 2008..Selepas menikmati sedikit minum pagi,kami bertolak dari rumah Cikgu Azmi ke UITM Merbok,Kedah untuk menjemput seorang lagi sahabat yang akan bersama-sama ke Abu Nur,Saudara Ifwat Qusyairi.Kami berempat,bersama Sdra Salman Siddiqi,orang yang sudi memberi kami ruang dan peluang menjejakkan kaki ke Abu Nur.Kami menikmati sarapan pagi di pekan Kuala Ketil,Kedah sambil menunggu kedatangan seorang lagi sahabat,Sdra Mahzan Abd Mutalib.

Akhirnya,kami berlima bertolak ke Pengkalan Hulu Perak,lebih kurang jam 9.00 pagi.Perjalanan ke Pengkalan Hulu mengambil masa lebih kurang sejam membawa kami terus ke Rumah Kebajikan Abu Nur,Pengkalan Hulu,Perak.Alhamdulillah,akhirnya buat pertama kalinya kami berjaya menjejakkan kaki di Abu Nur.Ketibaan kami disambut mesra oleh Ustaz Rejab dan Ustaz Latif.Kami memanggil anak-anak permata Abu Nur ke surau Abu Nur.Mereka ternyata menyambut baik kehadiran kami ke rumah ini.Kami memulakan aktiviti pada pagi itu dengan ucapan yang amat bermakna daripada Sdra Salman.Ternyata,kerinduan pada adik-adik di Abu Nur amat membara di hati beliau.Kami diberi ruang oleh Sdra Salman bagi memperkenalkan diri kepada adik-adik permata Abu Nur.Kami rasakan diri kami tidak mampu menahan titisan air mata melihatkan wajah-wajah jernih adik-adik Abu Nur.Dari jernih raut wajah mereka,kami dapat merasakan betapa mereka ketandusan kasih sayang dan jauh di sudut hati kami,kami merasakan adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memberi secebis rasa bahagia dan gembira pada hari itu dan InsyaAllah,untuk selama-lamanya.

Aktiviti diteruskan dengan nyanyian lagu tema yang kami pilih khas untuk adik-adik Abu Nur.Bait-bait indah lirik lagu Jalinan benar-benar tersemat di hati kami.Selepas itu,bermulalah permainan minda yang kami aturkan sebelum itu.Permainan yang diberi nama ‘ Transformer’ menuntut adik-adik Abu Nur supaya mengingat dan peka dengan perkataan yang disampaikan.Kami menyusun atur para peserta sebaik mungkin mengikut peringkat umur agar tidak berlaku kesukaran semasa permainan berlangsung nanti.Permainan dimulakan dengan memanggil adik-adik yang berada paling hadapan di setiap kumpulan.Kami bacakan satu cerita ringkas buat mereka.Cerita berbunyi… Dalam sebuah kampung,ada seorang budak perempuan yang sangat cantik.Dia sangat hebat.Walaupun dia susah,tapi dia tak pernah mengeluh.KENAPA?? Kerana dia Islam dan dia ada ALLAH..ALLAH sentiasa bersama dia.
Mungkin kedengaran agak sukar untuk mengingati setiap patah perkataan yang ditugaskan.Namun,matlamat kami hanya satu.Kami hanya mahu adik-adik Abu Nur memahami apakah maksud cerita yang disampaikan.Siapa kata adik-adik Abu Nur berintelektual rendah?Buktinya,mereka mampu mengingati cerita dan secara peribadi kami sebutkan bahawa kami amat terpegun dengan semangat adik-adik Abu Nur mengingati apa yang disampaikan.Subhanallah….

Akhirnya,selepas hampir setengah jam berlalu,cerita itu akhirnya sampai kepada peserta terakhir.Mereka dipanggil untuk menceritakan semula apa yang mereka dengari.Ternyata,walaupun ayatnya agak lintang pungkang,mereka dapat mengingati jalan cerita yang disampaikan.Terpancar riak keceriaan dan kegembiraan di wajah mereka apabila kami menghargai dan memuji setiap perkataan yang mereka lafazkan.
Lantas kami ajukan persoalan kepada adik-adik Abu Nur..Siapakah perempuan dalam cerita itu??Segala jenis jawapan kami dengari dari adik-adik.Akhirnya kami keluarkan dua kotak dan mengatakan bahawa jawapan pada persoalan tadi ada di dalam kotak – kotak itu.Rasa hairan dan bingung menyulubungi mereka,jelas dapat dilihat melalui kerutan di wajah masing-masing.Kami menjemput mereka seorang demi seorang untuk melihat sendiri jawapan yang mereka cari.

Ada yang tersenyum,ada yang hairan berfikir malah ada juga yang berlalu tanpa sebarang kata.Mungkin ragu-ragu dengan maksud yang kami cuba sampaikan.Mana tidaknya,kami meletakkan sebuah cermin dalam setiap kotak bertujuan untuk mereka melihat diri mereka sendiri dalam cerita yang disampaikan.Alhamdulillah,setelah dijelaskan satu persatu,mereka dapat memahami segala yang tersirat di sebalik permainan ini.Hakikatnya,Adik-adik Abu Nur adalah gadis cantik yang sentiasa kuat itu.Kami yakin,merekalah orangnya…Kami akhiri aktiviti pertama dengan nyanyian lagu “ Jalinan’’ sambil mengagihkan sedikit cenderahati yang tidak seberapa dari kami.Semoga mampu menceriakan hati anak-anak kecil permata hati ini.
Selepas itu,kami cuba menyelami hati dan perasaan mereka di mana setiap fasilitator yang datang mengambil alih setiap kumpulan mengikut peringkat umur.Ada yang sudi berkongsi masalah dan kisah silam mereka,tapi masih ada yang agak keberatan untuk bercerita.Namun kami faham,tidak mudah memujuk hati mereka apatah lagi kami masih lagi asing di kalangan mereka.Secara kesimpulannya,mereka sebenarnya terlalu inginkan kasih sayang dari insan-insan yang sanggup menghulurkannya.Hampir menitis air mata kami mendengar luahan hati anak kecil,Salmah yang merengek mengharapkan kedatangan kami setiap hari.Terkedu kami mendengar luahan hati Nabilah yang menjerit mengatakan “Kakak,saya sayang kakak…’’.Ternyata,kasih sayang ini terlalu indah,dik…

Selepas menikmati makan tengahari bersama adik-adik Abu Nur dan bersolat Zohor bersama-sama, kami masih sempat beramah mesra,berkongsi cerita dengan mereka.Indahnya saat dan ketika itu Ya Allah…Lumrah hidup,setiap pertemuan pasti ada perpisahan.Amat berat hati kami meninggalkan bumi Abu Nur.Terasa amat sukar untuk kami meninggalkan mereka di saat mereka baru sahaja mengenali kami.Masa beberapa jam yang diperuntukkan terasa seperti beberapa saat sahaja berlalu.Sungguh,air mata kami hampir menitis namun kami kuatkan hati demi adik-adik Abu Nur.Salam dan ciuman adik-adik menghantar kami pulang.Jauh di sudut hati kami,kami berjanji kami akan datang lagi ke bumi Abu Nur ini.Itu janji kami!
Selamat tinggal Abu Nur.Panjang umur,kita jumpa lagi…InsyaAllah….

YA ALLAH…
Eratkan kemesraan antara hati-hati ini…
Kekalkan kasih sayang antara kami…
Berkatilah segenap perjalanan hidup kami…
AMIN……

Luahan rasa,
ANIS ZAKARIA & NUR AFIQAH RIDZUAN (IPTB)

This entry was posted on 6.18.2008 at 7:20 PTG . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

1 komen anda

Tanpa Nama  

salam
nak tanye mcm mane rumah kebajikan
ini?saya mencari2 rumah kebajikan yg amat2 perlukan bantuan

6 September 2008 pada 9:28 PTG

Catat Ulasan