HARI RAYA DI ABU NUR  

Posted by ummahaid in

LAPORAN PROGRAM
HARI RAYA AIDIL ADHA 1429 H
RUMAH ANAK YATIM ABU NUR, PENGKALAN HULU, PERAK



Perjalanan ke Abu Nur merupakan sambungan perjalanan kami (saya, Nadiah, Kak Cik Syakirah, Aisyah, Akmal, Afif dan Adib) setelah beberapa hari berada di luar mengurus dan mengikuti program-program lain. Perancangan asalnya, kami berhasrat untuk ke perkampungan Orang Asli Katai, Perak. Namun, Allah merencanakan agar kami dapat bersama-sama adik-adik tercinta di Pengkalan Hulu, Perak. Walau apa sekalipun, alhamdulillah, rezeki bersua muka ini takkan dilepaskan.

Lelah semalam belum hilang, perjalanan harus diteruskan. Kami hanya terima khabar bahawa ada adik-adik di sana menanti. Berapa dan siapa? Kami hanya ingin segera sampai ke sana, moga cepat bersua, meluah kata bicara, ungkapan rasa rindu di dada.


Mengikut rencana terakhir, perjalanan ini dengan sebuah Kenari dan Unser. Namun, atas beberapa sebab, akhirnya, hanya sebuah Unser yang memuatkan kami semua ke sana. Kami sampai jam dua petang ketika adik-adik (hanya 8 orang) masih di dalam musolla sesudah menunaikan solat Zohor. Hujan renyai menyambut kedatangan kami. Wajah-wajah yang tersua di balik pintu itulah yang kami rindu. Mereka mendapatkan kami dengan senyuman. Meraikan.

Wajah-wajah mereka ceria menyambut kami. Namun, jauh di hati, kami mengerti bahawa mereka mengharapkan bukan hanya kami yang hadir ketika itu, malah insan-insan yang lebih penting dari kami. Damai halaman Abu Nur di sirami hujan renyai, membuatkan kami lebih mengerti gerimis di hati adik-adik lebih basah berbanding laman yang bergenang air ini. Tanpa sedar, tangis di hati membuatkan mata kami bergenang. Sayu melihat adik-adik yang cekal dan tabah.

Sesudah bersalaman, kami menunaikan solat Zohor, dan melepaskan lelah yang tersimpan. Maafkan kakakmu ini, dik. Petang hari, acara membakar lemang pun bermula. Dengan bantuan Umi dan Ibu di dapur, adik-adik keluar dan ke dalam membantu kerja-kerja membakar lemang. Selepas berbincang seketika, kami keluar untuk membeli bahan-bahan yang diperlukan. Untuk menambah keceriaan adik-adik di suasana hari raya ini.

Ketika siap-siap untuk keluar, kami lihat adik-adik yang sedang bermain-main di halaman. Ada yang bertanya, nak ke mana? Bila kami beritahu bahawa kami hendak ke kedai, ada yang ingin memesan. Setelah di tanya, pesanannya adalah ais krim dan keropok. Siap menghulurkan duit untuk bayaran barang yang dikirim. Kami menolak dengan sebaiknya, harap adik-adik tak terguris.

Ketika pulang, mereka sangat gembira. Ada buah tangan yang memang mereka impikan. Terima kasih kepada kakak yang menaja ais krim dan wafer pada petang tu.


Sebelah malam, makan malam bersama adik-adik diselang seli dengan cerita-cerita mereka di Abu Nur. Ada yang semakin banyak bicaranya, ada yang semakin bersungguh membaca, dan macam-macam gaya. Kami senyum. Moga adik-adik akan terus berjaya.

Takbir bergema, lafaz-lafaz indah meniti di lidah adik-adik ini, dalam lincah membantu Umi dan Ibu di dapur. Kami mencelah dengan aktiviti membuat puding buah-buahan dan roti goreng Sardin. Malangnya, Roti Goreng Sardin tidak menjadi seperti kebiasaan kerana terlebih sesuatu dalam adunan. Tapi, alhamdulillah, semuanya dan puding buah-buahan yang sedap tu telah di habiskan ketika jamuan pagi Aidil Adha.

Selepas solat Subuh, takbir raya bergema lagi. Lebih lima puluh orang hadir pagi itu untuk bersama-sama menunaikan Solat Sunat Aidil Adha. Sepanjang hari hujan renyai membasahi halaman Abu Nur. Lima ekor lembu telah ditumbangkan sebagai pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini. Aktiviti gotong-royong melapah dan memasak diketuai oleh Ustaz Rejab.

Ketika matahari di puncak, berlindung disebalik gerimis hujan, ada sahabat baru menyedari, kerana begitu lama tidak menjejak kaki ke sini, tidak menziarahi adik-adik, atas kesibukan di luar sana, sehingga tidak lagi dapat membezakan yang manakah adik yang telah dikenali sebelumnya dan juga adik yang baru saja mendiami Abu Nur. Ketika kemesraan dilambai, ada adik yang menjauhi. Seakan cuba memahami siapa sebenarnya kakakku ini. Ketika kasih dihampar, barulah disedari bahawa adik yang seorang ini, amat baru di sini. Saat itu, baru terasa betapa kami datang dan pergi.

Datang dengan lambaian kasih mesra, setelah disambut, ianya seketika cuma. Walaupun masih ada ruang ingatan pada mereka, sangat sedikit. Datang dan pergi diselangi jarak masa yang kita rasakan hanya sedikit. Tapi, bagi adik-adik, datang dan pergi kita sangat bererti buat mereka.

Menjelang tengahari, daging yang telah di masak siap untuk di makan. Ada sup daging, daging rebus bercicah air asam….hmm…selera!! Menurut rakan-rakan yang makan.

Hujan renyai masih membasahi halaman Abu Nur. Kami meminta izin untuk mengundur diri. Rencana perjalanan, kami menumpangkan ibu dan adik-adik kepada adik Atiqah yang datang ke Abu Nur untuk sama-sama berhari raya. Buat adik-adik, kakak minta maaf kerana tidak dapat meluangkan banyak masa, atas sebab-sebab tertentu, kita tidak mempunyai aktiviti yang terancang dengan teliti, dan segalanya.

Salam wida' dengan semua. Kita kan bertemu lagi di lain waktu dan hari. Doakan perjalanan kami. Kami melangkah keluar dengan harapan adik-adik akan tumbuh besar menjadi serikandi-serikandi yang kuat dengan cabaran mendatang, dan penggerak sebaran agama Allah.

Dari awal perjalanan ke Abu Nur, kami mencari hikmah disebalik semua ini. Benar, Allah memberikan sebaik-baik pengajaran dalam perjalanan hidup kita. Perjalanan menghantar ibu adik Atiqah melalui Ulu Legong dan perkampungan Orang Asli Baling. Atiqah telah kematian ayah. Ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal sebelum ini bekerja kilang di Prai, Pulau Pinang. Tapi kini terpaksa berhenti kerja kerana ingin menumpukan perhatian kepada adik-adik Atiqah yang semakin membesar. Bekerja seharian selama 13 jam dalam keadaan berdiri, ditambah perjalanan selama 4 jam untuk perjalanan pergi dan balik dari Prai ke Baling. Masa yang ada untuk anak-anak hanyalah selama 7 jam. Itupun bukan masa yang terbaik kerana pergi dan pulangnya ketika anak-anak masih tidur dan kembali tidur semula pada waktu malam.

Dalam diam kami terkedu. Kagum melihat sosok kecil seorang ibu muda. Demi sesuap nasi untuk si anak. Perjalanan kami di isi dengan kisah suka dukanya. Tanpa sedar, beliau bercerita arwah bapa kepada anak-anaknya meninggal berpunca dari ketagihan dadah. Pengajaran berguna buat kami dan adik-adik yang mengikuti perjalanan ini. Kami terdiam seketika. Dalam mendengar ceritanya, masing-masing melayan fikiran, menterjemah cerita menjadi sebuah azimat dalam diri agar menghindari dadah dan bahayanya.

Betapa simpati kami, namun sang ibu tetap tabah bercerita. Si ibu belum punya hasrat untuk berkahwin lain kerana mengenangkan kebaikan sang suami. Walau dia seorang yang dianggap memalukan keluarga, namun, dari sisi lain, si ibu melihat kasih seorang ayah dari suaminya itu. Tidak pernah memarahi anak-anak walau dalam keadaan apa sekalipun.

Kami sampai di rumah ibu Atiqah. Kampong terpencil, namun masih dapat dihubungi dengan jalan mini tar. Perjalanan diteruskan lagi menuju destinasi kami yang masih jauh.

Terima kasih Ya Allah! Terima kasih semua, yang membuka laluan dengan izinNya untuk kami menjejak kaki di sini. Belajar menghargai, belajar dari alam yang penuh warna-warni.

This entry was posted on 12.15.2008 at 7:34 PTG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 komen anda

Catat Ulasan