.: LASKAR PELANGI :.  

Posted by ummahaid in

LASKAR PELANGI
oleh liko_hihihi (Akmal USM)

Tempat : Teratak Abu Nur Fasilitator : - Shida, UITM Shah Alam
- Akmal, USM Pulau Pinang
- Ifwat, UITM Merbok, Kedah
- Mahzan, IPGM Tuanku Bainun

Tarikh : 24-25/ 1/ 2009 Aktiviti : - Pengisian Maghrib
- Dia Pilihan Kami
- Bom
- Tepuk Bernombor
- Kamu Istimewa
- Semakin Jauh Semakin Sayang
- Itu aku

Mimpi adalah kunci
Untuk kita menaklukkan dunia
Berlarilah tanpa lelah
Sampai engkau meraihnya

Laskar pelangi
Takkan terikat waktu
Bebaskan mimpimu di angkasa
Warnai bintang di jiwa

(Chorus)
Menarilah dan terus tertawa
Walau dunia tak seindah surga
Bersyukurlah pada yang kuasa
Cinta kita di dunia selamanya

Cinta kepada hidup
Memberikan senyuman abadi
Walau hidup kadang tak adil
Tapi cinta lengkapi kita…

Laskar pelangi
Takkan terikat waktu
Jangan berhenti mewarnai
Jutaan mimpi di bumi

(Chorus 2X)

Laskar pelangi
Takkan terikat waktu…

Setibanya di Pekan Baling, kami beransur turun menyusun langkah, merancang tempat pertama untuk disinggahi. Kami membeli sedikit buah tangan dan beberapa barang dapur seperti agar-agar dan kacang soya untuk dimasak. Setelah selesai membeli barang-barang yang diperlukan, Shida terus menghubungi Ustaz Rejab. Sementara menunggu kedatangan ustaz, kami mencari tempat berteduh di perhentian bas dan menikmati kelazatan ‘Putu Bambu’ yang baru sahaja kami beli di pasar malam. Beberapa minit kemudian, kelibat van ustaz kelihatan. Beberapa ahli keluarga ustaz juga turut berada dalam van tersebut. Ustazah menyambut hulur jari-jari kami dengan mesra.

Dalam perjalanan ke Abu Nur, ustaz dan ustazah sempat memberitahu kami mengenai beberapa perkembangan yang telah berlaku di Abu Nur sejak kebelakangan ini. Menurut ustaz, Abu Nur kini dihuni oleh 40 orang puteri dan kebanyakkan daripada mereka adalah penghuni baru. Gentar jiwa kami pabila mendengar khabar tersebut. Hati ini terus berdoa agar adik-adik baru dapat menerima kehadiran kami di Abu Nur. Kami juga berdoa agar pintu-pintu hati mereka dibuka dan kami diberi kemudahan bagi menyampaikan nasihat dan pesanan yang dapat digunakan kelak.

Kini, kami telah selamat sampai di perkarangan asrama Siti (puteri). Ramai adik-adik yang keluar datang menghulurkan salam dengan penuh gembira. Kami bersyukur kerana kehadiran kami begitu dialu-alukan oleh mereka. Hati ini terus memanjatkan doa agar segala urusan kami di sini akan terus dipermudahkan.

Masa begitu pantas berlalu. Siang kini berganti malam. Azan dilaungkan menandakan masuknya waktu Maghrib. Puteri-puteri Abu Nur bergegas menuju ke masjid. Kami juga tidak melepaskan peluang menunaikan ibadah di rumahNya. Selesai sahaja solat Maghrib, ustazah meminta kami berdua untuk memberi sedikit kata-kata rangsangan/ motivasi kepada adik-adik khususnya warga baru. Mahu atau tidak, kami memberanikan diri melangkah ke hadapan. Tanpa sebarang perancangan, tanpa cebisan skrip, Shida terus memegang mikrofon memulakan bicara. Kata-kata pesanannya mengalir laju bak air di sungai. Lenggok bahasa disusun rapi agar tarian tidak kelihatan sumbang. Segalanya cantik! Terima kasih ya Allah!

Setelah selesai solat Isyak, Angah (anakanda mak), meminta kami ke pejabat. Beliau mewakili pengerusi meminta kami mengadakan program satu hari bersama adik-adik Abu Nur. Pada mulanya kami agak keberatan untuk menerima permintaan tersebut atas beberapa sebab seperti kekurangan fasilitator dan yang paling penting tiada persediaan dibuat! Niat di hati, kedatangan ini hanyalah untuk ziarah semata-mata. Tetapi setelah memikirkan mengenai adik-adik, kami berdua bersetuju untuk menerima cabaran tersebut. Ini mungkin peluang keemasan untuk kami belajar mengadakan program sendiri iaitu dari segi perancangan sehinggalah perlaksanaan. Menurut Shida, insya_Allah pada keesokkan hari kami akan dibantu oleh Ifwat dan Mahzan. Selesai sahaja perbincangan, kami bergegas ke dapur untuk membuat sedikit agar-agar buat adik-adik. Semasa memasak kami cuba memikirkan permainan, aktiviti yang sesuai bagi program untuk hari esok. Ku sangka panas, rupanya hujan di tengah hari. Akibat keletihan yang amat dari Pulau Pinang ke Baling, kami terus terlena dibuai mimpi tanpa berjaya menghabiskan coretan perancangan untuk hari esok.

Sungguh, tidur itu memang satu nikmat. Kami berjaya bangun sebelum azan Subuh berkumandang. Kami sedar, hari baru ini menandakan bermulanya cabaran baru buat kami. Selesai sahaja menunaikan solat Subuh, kami meminta adik-adik untuk bersiap bagi memulakan aktiviti pagi iaitu ‘Senaman Bersama Kak Shida’. Senaman dimulakan dengan regangan dan beberapa aktiviti lain. Tepat jam 9 pagi, kami melepaskan adik-adik untuk membersihkan diri, bersarapan dan bersedia untuk program seterusnya pada jam 10.30 pagi. Kami mencuri masa rehat tersebut bagi berbincang dengan lebih terperinci bagi aktiviti seterusnya.

Seperti yang dijanjikan, tepat jam 10.30 pagi, mereka telah berkumpul semula di masjid. Aktiviti seterusnya memerlukan penglibatan secara berkumpulan. Aktiviti ini dinamakan ‘Pilihan Kami’. Ia memerlukan setiap kumpulan menghantar seorang ahli ke hadapan. Kumpulan yang lain pula akan memberi komen mengenai orang pilihan kumpulan tersebut. Komen yang diberikan terhad kepada tiga ayat sahaja. Selain itu juga, model tersebut perlu bercakap hanya sebanyak lima ayat di hadapan. Aktiviti ini mendapat sambutan yang agak menggalakkan. Mereka berusaha menjadikan model mereka kelihatan cantik hanya dengan menggunakan barang-barang yang mereka ada pada waktu tersebut. Banyak perkara yang ingin kami bentuk dan sampaikan kepada mereka seperti menanamkan sifat berkerjasama, menghormati orang lain, berani menerima kritikan/ teguran dan perkara utama yang cuba disampaikan adalah ‘Jangan kerana semut kecil di seberang, gajah besar depan mata diabaikan’. Dengan kata lain, jangan asyik mencari kelemahan orang lain sahaja. Kita juga perlu sedar akan kelemahan diri sendiri. Selain itu juga, pengisian yang penting juga adalah mengenai aurat wanita Islam yang kadang kala kita asyik terlepas pandang. Melalui aktiviti ini, secara tidak langsung, kami cuba mengingatkan mereka mengenai aurat wanita Islam. Tepat jam satu, kami berhenti rehat untuk persiapan solat Zuhur dan makan tengah hari. Pilihan Kami akan disambung selepas rehat.

Semasa waktu rehat, saya dan Aisyah (kakak kepada Mashitah) pula mengambil alih kerja di dapur. Semalam kami (saya dan Shida) telah berjaya membuat agar-agar sarsi (walau sedikit lembik), hari ini giliran air soya mengambil alih. Kami hanya menggunakan sebanyak setengah kilogram kacang soya. Setelah dibasuh, dikisar, kini tiba proses menapis. Malangnya, yang ada hanya penapis teh yang bersaiz kecil. Setelah penat memerah otak, mencari akal yang tersembunyi, akhirnya kami mendapat idea yang cukup bernas iaitu dengan menggunakan kain tudung. Saya bergegas mengambil kain tudung yang telah diyakini kehalalanya dan kerja memerah soya telah dilakukan oleh Aisyah dengan jayanya. Terima kasih kepada Mama yang telah bersusah payah membantu kerja-kerja memasak air soya. Kali ini, air soya berasa lebih sedap dari yang sebelumnya. Mungkin disebabkan oleh kacangnya yang masih baru.

Aktiviti seterusnya bermula tepat jam dua. Untuk setengah jam pertama, Shida memulakan perjalanan program terlebih dahulu kerana aktiviti saya di dapur masih lagi tidak selesai. Untuk setengah jam pertama, Shida memulakan aktiviti dengan permainan ‘Bom’. Saya kurang pasti dengan pengisian aktiviti ini. Tepat jam 2.30 petang, kami meneruskan perjalanan aktiviti Pilihan Kami. Kami agak terkejut sebenarnya apabila melihat adik-adik memakai pakaian serba indah dan kemas. Mungkin ini penangan Pilihan Kami. Syukur kerana apa yang ingin kami sampaikan diterima baik oleh mereka iaitu kita semua adalah cantik!

Tidak lama kemudian, Ifwat dan Mahzan datang. Mereka agak terlewat kerana cuaca ditempat mereka tidak mengizinkan mereka untuk bertolak lebih awal. Setelah menunaikan solat Zuhur, mereka segera mengambil alih untuk pengisian yang seterusnya. Atas cadangan Mahzan, kami membahagikan adik-adik kepada empat kumpulan kecil iaitu dua kumpulan mewakili adik-adik sekolah rendah manakala dua kumpulan lagi mewakili adik-adik yang berumur dari 13 dan ke atas. Saya dan Shida masing-masing mengambil kumpulan sekolah rendah manakala Mahzan dan Ifwat masing-masing mengambil alih kumpulan sekolah menengah. Pengisian tersebut berkisar mengenai ketakutan dalam diri dan cara mengatasi juga mengenai kecantikan iaitu kecantikan sebenar bermula dari hati yang tulus. Terima kasih kepada Ifwat dan Mahzan kerana sudi meluangkan masa dan sanggup meredah hujan untuk ke Abu Nur.

Selesai solat Asar, Shida meneruskan aktiviti petang dengan permainan ‘Semakin jauh semakin sayang’. Seperti makluman para mujahid dan mujahidah, permainan ini memerlukan belon berisi air. Belon ini akan dilempar dari satu pihak ke satu pihak yang lain dan jarak yang ditetapkan akan semakin bertambah jauh. Permainan ini memerlukan kerjasama yang tinggi di antara ahli bagi memastikan belon itu tidak pecah dan berada dalam keadaan yang baik. Aktiviti petang tamat tepat jam tujuh. Pada masa yang sama, Ifwat dan Mahzan meminta diri untuk beransur pulang.

Pada malamnya, selepas selesai solat Maghrib dan membaca surah Al-Waqiah (diketuai Ustaz Rejab), kami membaca surah Yasin beramai-ramai. Secara tidak langsung, kami menyedari ada adik-adik yang tidak lancar bacaan Yasin. Pada masa akan datang mungkin fasilitator ada idea bagi membantu adik-adik ini. Untuk aktiviti seterusnya, iaitu selepas solat Isyak, kami meminta adik-adik untuk menulis mengenai lima perkara yang kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri mereka sendiri. Ini penting agar adik-adik mengenali diri mereka sendiri.

Sebagai penutup tirai kami sama-sama menyanyikan lagu tema kami Laskar Pelangi…

This entry was posted on 3.11.2009 at 3:04 PG and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 komen anda

Catat Ulasan