Kuala Mu 30 April - 2 Mei 2010  

Posted by ummahaid in ,

Laporan Kembara Dakwah Orang Asli ke Kuala Mu pada 30 April – 2 Mei 2010


Bismillahirrahmaanirrahim’. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Lagi Maha Penyayang. ‘Laailaahaillallah, wa Muhammad Rasulullah’. Berpegang teguh penulis dengan kalimat ini berserta keazaman yang kukuh, ‘Alhamdulillah’, segala puji bagi Allah, kerana telah mengizinkan penulis bersama-sama 28 orang peserta lagi bagi meneruskan misi dakwah orang asli yang telah bermula pada seawal tahun 2006 dan berjaya diteruskan sehingga ke bulan ini, 30 April hingga 2 Mei 2010.
Kembara dakwah Ummah Aid kali ini disertai seramai 9 orang lelaki dewasa, 11 orang wanita, dan 9 orang kanak-kanak, menjadikan jumlah peserta kembara dakwah orang asli kali ini adalah seramai 29 orang daripada Persatuan 4x4 Perlis, serta mahasiswa dari sekitar Selangor dan Pulau Pinang.
1 Mei 2010
Penulis telah sampai di Pekan Sungai Siput seawal 12 tengah malam 1 Mei, sambil menunggu peserta-peserta lain dari Perlis, di Hospital Sungai Siput, dan seterusnya berkumpul di kawasan perkampungan Felda Lasah dan akhirnya berkumpul di Masjid Mukim Felda Lasah pada jam 2.40 pagi. Kemudian, kami mengadakan syura (perbincangan) sebelum mengambil masa untuk rehatkan diri, bagi memilih dan melantik amer, penolong amer, imam, ketua unit makanan dan ketua unit logistik. ‘Alhamdulillah’, kepakaran dan semangat umur yang ada pada Cikgu Hashim telah dilantik sebagai amer, manakala, abang Azmarul sebagai penolongnya. ustaz Fuad, Pak cik Ibrahim dan abang Kamarul@Kembara telah dipilih dan dilantik sebagai imam, ketua unit makanan dan ketua unit logistic untuk pengembaraan dakwah orang asli kali ini.




‘4x4’ yang digunakan dalam kembara ini.

Perjalanan kembara dakwah ini bermula seawal jam 6.45 pagi, selepas selesai subuh berjemaah, di mana kami bersarapan di kedai kopi depan Masjid Mukim Felda Lasah untuk mendapatkan tenaga sebelum perjalanan kembara ini benar-benar bermula pada jam 7.15 pagi, dengan bantuan Pinzgauer kuning, dua ‘4x4’ Mitsubishi (pajero), sebuah ‘4x4’ Suzuki dan sebuah Kembara. Perjalanan kembara dakwah telah melaui beberapa perkampungan orang asli dan diteruskan sehingga sampai di kawasan rehat untuk proses penyegaran diri. Pada jam 9.30 pagi, kembara dakwah kami mengalami sekatan perjalanan, di mana, Pinzgauer kuning, milik abang Azmarul terlekat di jalan berbukit (lebih kurang 40 darjah) yang berlubang-lubang (sedalam 1 meter) sepanjang perjalanan sehingga ke atas bukit. Di sinilah bermula kaum Adam menghempas pulas tenaga, idea dan strategi bagi melepasi semua halangan. Dengan kerjasama yang padu, Pinzgauer mengambil masa 1 jam setengah untuk melepasi bukit tersebut. Seterusnya 3 ‘4x4’ berjaya melepasi halangan bukit tersebut dengan penuh hati-hati, namun sayangnya Kembara milik abang Kembara terpaksa ditinggalkan kerana kuasa enjinnya tidak mampu melepasi halangan dan kecerunan bukit tersebut. Dengan perasaan berat hati, abang Kembara, isteri dan anak, serta Jannah, peserta dari UPM, terpaksa berpindah dan menumpang ke ‘4x4’ lain. Pada jam 11.55 pagi, perjalanan diteruskan sehingga menemui sebuah lagi bukit yang agak cerun dan berlubang-lubang. Alhamdulillah, semua kenderaan mampu melepasi bukit kedua dan tidak mengambil masa yang lama dan perjalanan diteruskan sehingga kami menemui 11 kawasan lopak air yang berselut, di mana lebih kurang 4 lopak air, pasti ada salah satu kenderaan kami yang terlekat, terutamanya ‘4x4’ Pajero Mitsubishi milik cikgu Hashim!
Pemandangan alam sekitar yang mendamaikan sepanjang perjalanan kembara dakwah ini cukup mengejutkan dan mengasyikkan penulis, di mana Gunung Yong Yap menghiasi retina mata penulis dan peserta-peserta lain. Hutan hijau dan banjaran gunung yang melembutkan mata. Saat-saat penulis mula menjejakkan kaki ke kampung Bersah, tempat kediaman ketua kampung, Pak Hadu, terlintas sebuah “puisi alam” oleh sanggabuana, di mana bait-bait puisinya
:




Bila angin
kehilangan desirnya
daun-daun kering
takkan mau
meluruhkan tubuhnya

Bila langit
kehilangan kebiruannya
burung-burung
takkan mau
mengepakkan sayapnya

Bila sungai
kehilangan kejernihannya
ikan-ikan
takkan mau
mengibaskan ekornya

Bila bulan
kehilangan sinarnya
malam-malam
akan gelap tanpa cahaya

Bila hutan
kehilangan pohon-pohon
hewan-hewan
kehilangan tempat tinggalnya

Bila bukit
kehilangan kehijauannya
sungai-sungai
akan kering selamanya

Bila petani
kehilangan sawah ladangnya
kanak-kanak
akan menitikkan air mata

Bila manusia
kehilangan kemanusiaannya
alam semesta
akan tertimpa bencana
dan bertanya angin kering
"Perlukah memanusiakan manusia?"

Subhanallah’, Maha Suci Allah yang Menciptakan seluruh alam ini. Pada jam 3.25 petang, kami sampai di Kampung Bersah, di mana tempat persinggahan kami sebelum mengakhiri perjalanan kami ke Pos Kuala Mu. Di sini tiada masalah pencemaran alam, seperti yang dinukilkan dalam puisi alam di atas, namun terfikir penulis bagaimana memaksimumkan dakwah dan tarbiah Islam di sini, kerana majoriti penduduk Kampung Bersah, telah memeluk Islam. Pertama kali penulis menemui kanak-kanak orang asli benar-benar menginsafkan diri dengan kesenangan dan kemewahan yang ada berbanding mereka.

Hujan lebat mula turun dan kami mengambil masa untuk solat jama’ taqdim, zohor dengan asar di dewan yang dibuat daripada buluh. Betapa penulis merasai kesejukan setiap langkah kaki memijak buluh-buluh di dewan yang penuh unik ini. Setelah selesai solat, kami mengambil masa beberapa minit untuk imam, ustaz Fuad, memberi tazkirah ringkas mengingatkan kelebihan usaha dakwah ini dan berbincang tentang aktiviti selepas ini. Memandangkan waktu adalah singkat, kami terpaksa menumpang memasak makanan tengah hari Mee Maggi di rumah Pak Hadu.
‘Alhamdulillah’, bagi mengisi perut kami yang kelaparan dek perjalanan yang agak lama dan mencabar tenaga, isteri Pak Hadu, dengan panggilan manja, Ummi, telah memasak ubi goreng untuk kami berserta ikan sungai(tengas) yang digoreng dan masih panas, serta dijamu pisang yang benar-benar rasa keemasannya. Setelah kami menghabiskan makanan tengah hari, dalam jam 5 petang, kami bertolak ke Pos Kuala Mu yang hanya menngambil masa tidak sampai 10 minit.
‘Subhanallah’, indahnya pos Kuala Mu ini adalah sungainya yang panjang, lebar dan jernih. Pastinya peserta-peserta yang datang tidak sabar untuk bermandi-manda di sini. Kanak-kanak Kuala Mu pula seakan-akan memahami kehendak kami yang merindui kejernihan sungai mereka, mula membuka baju dan menunjukkan pelbagai gaya mandi mereka. Inilah bezanya kanak-kanak kota dengan kanak-kanak orang asli di pedalaman. Kanak-kanak kota biasanya dikawal oleh orang tua, namun kanak-kanak orang asli tidak mempedulikan keselamatan mereka ketika mandi di sungai. Melihat wajah-wajah riang mereka, hati penulis mula terdetik, bagaimanakah sesi persekolahan dan akademik mereka.
Memandangkan masa telah mengusai semuanya, matahari mula malu menampakkan diri, senja mula berteduh, peserta wanita terpaksa menolong kaum Adam menyediakan makanan memasak untuk “cak raya”. Penulis diberitahu oleh peserta yang biasa mengikuti kembara dakwah ini, kaum wanita tidak perlu memasak, di mana pada kebiasaannya mereka perlu beramah mesra dengan kanak-kanak atau menziarahi kaum wanita di rumah-rumah mereka. Namun, perjalanan ke Kuala Mu kali ini yang berlalu mengambil masa agak lama, terpaksa kami mengikut kehendak keadaan. Ayam dibersikan di tepi sungai, sambil ditemani kanak-kanak riang bermandi-manda, dan anjing yang begitu jinak mencari peluang untuk mendapatkan habuan mereka.

Sesi “cak raya”
Dalam jam 8.30 malam, semua nasi dan sup ayam, serta air asam siap disediakan. Orang kampung, termasuk kampung seberang sungai (yang kebanyakannya bukan muslim) juga dijemput untuk makan malam bersama-sama dalam “cak raya” kali ini di dewan Pos Kuala Mu. Pada awal sesi, cikgu Hashim mengambil masa beramah mesra dengan orang kampung dan mengajar kanak-kanak serta orang dewasa yang hadir tentang beberapa zikir. Pada pendapat penulis, mereka tidak memahami erti kalimah-kalimah yang diajar, namun penulis menyimpan hasrat yang penuh agar suatu hari nanti, mereka mampu memahami Islam dengan sebaiknya. Kemudian, para peserta kembara bersolat jama’ ta’khir bersama-sama para jemaah kampung yang masih awal dan berjinak-jinak dengan Islam.
‘Alhamdulillah’, seusai solat, kami berdoa bersama-sama. Kemudian, sesi makan malam dimulakan. Kanak-kanak mula beratur dan berebut menghulurkan pinggan atau “ayan” mereka untuk dicedokkan nasi dan sup ayam. Penulis, yang ketika ini, adalah pengalaman pertama dalam kembara dakwah orang asli ini, begitu terkejut kerana mereka kelihatan begitu lapar, sehingga ada beberapa orang kanak-kanak yang belum habis mengunyah, terus datang meminta makanan lagi. Teringat penulis, bahawa mereka hanya makan ubi kayu yang ditanam di ladang atau mencarinya di dalam hutan. Harapan penulis, setiap cedokan nasi yang diberikan, mengharapkan mereka jadi yang terbaik. Bagi sesetengah kaum ibu pula, mereka malu untuk datang mengambil makanan, lalu anak-anak mereka disuruh datang berkali-kali untuk mengambilnya. Apa pun, penulis amat mengharapkan, setiap butiran nasi yang mereka hadamkan, mampu membuatkan mereka menerima hidayah Islam dan menjadikan Islam sebagai panduan hidup mereka.
Setelah makan malam selesai bersama ketua kampung, Pak Hadu, dan penduduk kampung yang lain, kami beramah mesra. Peserta kembara dakwah dikalangan mahasiswi berbual-bual dan bergurau senda dengan remaja-remaja perempuan orang asli dan sesetengahnya dengan kanak-kanak oang asli sambil memberi gula-gula kepada mereka. Lebih kurang jam 10.30 malam, semua penduduk kampung pulang ke rumah masing-masing.

2 mei 2010
Peserta kembara dakwah juga telah mula merasai keletihan. Separuh daripada kami tidur di dewan di kampung Bersah, separuh lagi di dewan pos Kuala Mu. Kesejukan mula menggigit tulang pada awal pagi 2 Mei. Penulis tidak nyenyak tidur kerana kesejukan yang menggigil. Sekali lagi “puisi alam” oleh sanggabuana menjengah fikiran penulis.


Rinduku terpahat dalam batu
suaraku mengalir bersama air
bertebaran menjadi bunga-bunga keabadian.

Aku patrikan diriku pada alam
cinta,tembang,lara,berlagu di pucuk cemara
angin semilir padamkan gelora.

Aku tak,kaupun tak,kita tak paham
bagaimana laut dengan cintanya
mematrikan diri pada tebing terjal.

Aku ingin belah sepi
tatkala bulan bersemi
tapi kemana kan kupautkan rindu
ketika air tak lagi bergemericik jernih.

Kepada alam jiwaku bermalam
Pada keesokan paginya, selepas ustaz Fuad selesai mengimani solat subuh, kami memulakan sesi perbincangan, di mana kali ini kami berbincang mengenai modul-modul yang boleh diberikan kepada kanak-kanak orang asli dan berbincang mengenai aktiviti kami hari tersebut. Kami membuat keputusan untuk memasak nasi goreng untuk sarapan kami (memandangkan nasi banyak yang bebak semalam), dan seandainya ada penduduk orang asli yang datang meminta makanan, kami akan memberi sarapan kami juga.
Lebih kurang jam 7.45 pagi, kami mula memasak makanan untuk sarapan. Memandangkan separuh peserta kembara dakwah masih di Kampung Bersah, kami peserta mahasiswi mengambil keputusan untuk bermandi sungai di Lubuk Taring bersama-sama kanak-kanak orang asli. Alhamdulillah wa subhanallah, satu pemandangan yang cukup indah di hujung sungai, iaitu bahagian air terjun. Kami bermandi-manda bersama-sama kanak-kanak orang asli sambil meng’shampoo’ rambut dan memotong kuku mereka.

Penulis berbual dengan kanak-kanak orang asli

’Alhamdulillah’, dalam jam 10.45 pagi, kami selesai mengemas semua barang dan kami bertolak ke tanah milik Pak Uda, di mana terletak dewan milik Ummah Aid yang dibina sebelum ini. Pada awalnya, kami bercadang untuk bertolak pulang pada jam 11 pagi, namun disebabkan ada segelintir peserta yang belum bermandi sungai dan permintaan kanak-kanak yang ingin mandi sungai lagi, kami menangguhkan perjalanan pulang ke rumah Pak Hadu sehingga jam 12 tengah hari. Pada masa ini, kami beramah mesra dengan kanak-kanak orang asli, sambil bemain-main dengan mereka. Kami belajar bermain batu selambut cara mereka dan bermain kipas angin secara semulajadi. Subhanallah, mereka begitu kreatif!
Pada jam 12 tengah hari, kami bertolak ke rumah Pak Hadu. Semua peserta mengambil peluang menyegarkan diri di sini dan sekali lagi, kami dihidang dengan ubi kayu goreng dan pisang keemasan yang sungguh menyelerakan. Sebelum kami pulang, majlis perpisahan atau khitam diadakan, di mana semua peserta dewasa diminta memberi sedikit ucapan. Tidak ketinggalan penulis menyatakan harapan, semoga Islam terus mekar di bumi orang asli ini.
Sebelum berangkat pulang, penulis serta kaum ibu yang lain dapat membawa pulang akar kayu kacip Fatimah, yang mana kita ketahui amat baik untuk wanita. Tambahan lagi, penulis juga membawa pulang pokok hiasan, yang diberikan oleh kak Khadijah, anak Pak Hadu. Ustaz Fuad pula berjaya membawa pulang pokok tongkat ali dan pokok bunga hiasan. Lebih kurang jam 1.15 petang, kami bertolak pulang. Lambaian tangan kanak-kanak orang asli mula dirindui. Penulis dengan penuh pengharapan mengharapkan agar penulis mampu istiqamah dengan kembara dakwah orang asli ini lagi. Satu lagi puisi yang terlintas di fikiranku karya Ainun Nasihah, tajuk “Petang Terakhir”:



Petang terakhir,
Saat aku di beranda itu,
Langit bersendirian tanpa awan,
Burung berterbangan mencari pasangan,
Angin menghembus setiap helaian




Mata memerhatikan,
Bangunan idaman nun di sana,
Melambai memanggil untuk bersamanya,
Dikelilingi kehijauan pohon merendang,
Nantikan aku wahai sayang




Tinggallah di sini,
Kenangan terakhir di beranda ini,
Memahat seribu satu memori,
Tawa tangis semuanya di sini,
Jangan disesali peninggalan ini,
Akan aku berkunjung lagi.


Kembara dakwah orang asli kali ini tamat di Masjid Mukim Pekan Lasah pada jam 5.30 petang. Penulis pulang dengan penuh pengharapan agar punya tenaga dan masa untuk meneruskan dan istiqamah dalam misi dakwah orang asli ini, insya'Allah. Sekian, laporan kembara dakwah orang asli 30 April hingga 2 Mei 2010.
Disediakan oleh,Munirah Nik Sulaiman. UPM.







munir_nukman@yahoo.com

This entry was posted on 5.06.2010 at 9:20 PTG and is filed under , . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

2 komen anda

attiq  

amboi la.
siap berpuisi lagi.

tahniah kak munir

9 Mei 2010 pada 4:01 PG
Tanpa Nama  

huhu...baru ku buka laman ni. await letaq gambar ceq...

den malu lah...remove lah!! huhu...

akak tak pandai berpuisi, tapi minat pada seni bahasa, cantik!

Kak Munir Nukman

26 Mei 2010 pada 9:38 PG

Catat Ulasan